Thursday, May 3, 2012

Dunia Tanaman Ditanam, Akhirat Tanaman Dituai


Satu puisi Arab berbunyi:

اعْمَلْ لِدُنْيَاكَ كَأَنَّكَ تَعِيْشُ أَبَدًا          وَاعْمَلْ لِآخِرَتِكَ كَأَنَّكَ تَمُوْتُ غَدًا

Maksudnya: Bekerjalah untuk dunia kamu seolah-olah kamu hidup selama-lamanya

                  Dan bekerjalah untuk akhirat kamu seolah-olah kamu mati esok hari.   

Apa maksud puisi di atas? Bagaiamana pula caranya untuk beramal?
Satu waktu, ketika penulis berumur lingkungan awal remaja iaitu tingkatan satu, entah bagaimana muncul satu persoalan mengenai kehidupan, iaitu “Semua manusia akan mati. Dunia ini akan hancur. Buat apa buat kerja sungguh-sungguh? Mengapa perlu belajar tinggi-tinggi? Sia-sia sahaja.”. Allahuakbar, bisikan ini benar-benar membuatkan penulis berasa lemah dan tidak bersemangat menjalani kehidupan. Tetapi, Allah itu Maha Penyayang dan Maha Mengasihani hamba-hamba-Nya yang berada di dalam kebuntuan dan perlu kepada jawapan yang tepat agar mampu menaikkan kembali semangat maknawiyah untuk terus berjuang menjalani rantau perjalanan hidup ini. Dengan izin Allah Taala, seorang ustaz yang mengajar penulis mencatat puisi pada satu kertas. Subhanallah, demi tertancap anak mata penulis kepada puisi tersebut, serta-merta perasaan lemah dan lesu kian beransur hilang. Bahkan, penulis berasa kembali bertenaga untuk terus belajar bersungguh-sungguh agar dapat memberi manfaat kepada orang lain pula. Memang puisi itu ditulis oleh seorang ustaz, namun hakikatnya itulah didikan dari Allah (tarbiyah ilahiyyah) yang tidak dapat dibaca oleh pandangan zahir manusia biasa tetapi perlu dilihat dan dinilai dengan pandangan mata hati.
Kembali kepada puisi di atas, dunia ibarat ladang untuk ditanam tanaman dan akhirat pula tempat dan waktu untuk menuai hasil tanaman yang bakal membawa keuntungan kepada yang beramal. Allah Taala berfirman:
"Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu tetapi janganlah kamu melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia". (Surah al-Qasas 28: 77)
Ayat suci al-Quran itu memulakan peringatan kepada manusia agar berusaha mencari pahala sebanyak mungkin untuk bekalan akhirat kemudian barulah datang ayat agar tidak melupakan dunia sebagai tempat mencari hajat dan keperluan dunia. Ketahuilah, menjadi seni bahasa Arab apabila didahulukan sesuatu perkara yang pertama dari perkara yang kedua menunjukkan peripentingnya perkara pertama tadi tanpa melupakan perkara yang kedua. Begitulah indahnya Islam mengatur dan mentadbir kehidupan sarwajagat.
Rangkap pertama puisi menyebutkan bekerjalah seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya. Apabila kita berfikiran begitu, seseorang pasti akan bekerja atau belajar bersungguh-sungguh. Contohnya, seseorang mungkin boleh terfikir, “Mengapa perlu sungguh-sungguh bekerja atau belajar kerana sekejap lagi atau esok mungkin dia akan mati?” Tetapi apabila seseorang tadi berfikir seperti puisi di atas, nescaya dia akan berfikir sebaliknya, contohnya, “Aku kena bekerja atau belajar sungguh-sungguh kerana aku akan hidup selama-lamanya dan dengan itu, aku perlu pastikan natijah yang cemerlang dan terbaik dari hasil usahaku di dunia ini.” Dengan demikian, akan lahirlah seorang yang amanah dan jujur kepada apa jua kerja yang diuruskan. Jika dia seorang doktor, dia adalah doktor terbaik. Jika dia seorang guru, dia adalah guru yang terbaik untuk pelajar-pelajarnya. Jika dia seorang suri rumahtangga, dia adalah ibu yang cerdik dan penyayang kepada anak-anaknya. Jika dia seorang pelajar, dia adalah pelajar terbaik yang sentiasa menyiapkan kerja-kerjanya tanpa bertangguh-tangguh hingga ke akhir waktu. Subhanallah!
Dengan kata lain, hikmah di sebalik Allah merahsiakan tarikh kematian kita ialah agar kita tidak berasa lembik, lemah dan tidak bersemangat hidup di dunia ini. Hatta, orang yang sedang menderita penyakit kanser sekalipun, apabila dikatakan dia kelihatan semakin sihat, dia pasti bersemangat untuk berjalan meskipun tubuh badannya sudah terlalu kurus.
Rangkap kedua dari bait puisi di atas menjelaskan bahawa beramallah untuk negeri akhirat sana seolah-olah kamu akan mati esok hari. Orang Islam wajib beriman kepada adanya hari akhirat dan pembalasan setiap perlakuan di dunia ini. Apabila seseorang itu mengetahui kematian bakal menjemputnya esok hari, nescaya dia akan selalu beramal ibadat dan tidak akan terfikir pun untuk berbuat maksiat. Allah dan Rasulullah pasti sentiasa di dalam hati dan fikirannya. Kemudian, jika seseorang bangun di pagi hari dan berfikir bahawa dia mungkin tidak sempat untuk sampai ke petang hari, dia pasti akan berbuat baik sesama manusia lain dan meminta maaf daripada orang-orang yang pernah disakiti hatinya. Baginya, hayat dunia ini tidak memberi apa-apa erti dan pastinya seseorang itu tidak akan malas untuk beribadat dan tidak berasa hipokrit untuk berbuat baik.
Khulasohnya, secara logiknya, berbuat sesuatu WAJIB ada natijahnya. Jadi, apabila seseorang itu beramal sepertimana diungkapkan oleh penyair puisi di atas, pasti kita akan dapati ramai manusia yang akan membuat kerjanya dengan cemerlang dan terbaik. Apabila dia bekerja untuk urusan dunia, dia tidak akan menimbulkan fitnah kepada imej yang dibawa dan jika dia menunaikan ibadat khusus seperti solat, membaca al-Quran, membayar zakat, infak dan sebagainya, nescaya dia akan menunaikannya dengan hati yang paling ikhlas dan terbaik. Jalan yang paling tepat dan bagus apabila seseorang itu meniatkan seluruh amal pekerjaannya termasuklah amal duniawi sebagai ibadah kepada Allah Taala sesuai dengan misi nombor satu manusia diciptakan iaitu:
“Dan tidaklah Aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepada-Ku” (Surah al-Dzariyat 51: 56).
Sekian. Selamat beramal.

1 comment:

  1. Masha Allah, sungguh berguna sekali ilmu yg dikongsikan. Terima kasih kerana berkongsi. :)

    ReplyDelete