Monday, March 23, 2015

Apabila Isteri Sudah Bencikan Suaminya…


Pernah saya ditanya oleh seorang ibu beranak dua tentang apakah tindakan yang sepatutnya dibuat apabila dia sudah bosan dan tawar hati dengan suaminya yang bermasalah. Masalah dari sudut agama dan akhlaknya yang tidak meningkat-ningkat. Solat pun tidak. Balik rumah seminggu sekali apabila dirinya hubungan jenis diperlukan. Pernah pula suaminya ini ditangkap oleh isterinya sendiri berdua-duaan di dalam pejabatnya dengan seorang rakan kerja wanita ketika tiada seorangpun di dalamnya. Semoga ibu ini diberi taufik dan terlepas dari belenggu itu. Amin.
Islam memberi kuasa kepada suami untuk menceraikan isteri jika isterinya nusyuz dan tidak mahu berubah setelah dilaksanakan semua langkah-langkah didikan untuk membetulkan perangai isteri nusyuz ini. Bagaimana pula jika si suami pula mempunyai masalah dari segi agama dan akhlak yang tidak memuaskan hati si isteri sepertimana kes di atas.
Jika kebencian dan ketidakpuasan hati daripada pihak suami, maka dia berhak menceraikan isteri dan terdapat beberapa ketetapan-ketetapan yang wajib dipatuhi oleh si suami setelah bercerai. Namun, andai kebencian dan ketidakpuasan hati daripada pihak isteri, maka Islam mengharuskannya menamatkan perkahwinan mereka dengan khuluk atau orang melayu memanggilnya sebagai tebus talak.
Dr. Yusof al-Qaradawi di dalam bukunya, Ciri-ciri Unggul Masyarakat Islam yang Kita Idamkan mengutarakan beberapa jalan yang telah disediakan oleh syarak apabila timbul persoalan si isteri sudah bosan dengan suaminya yang cuai dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua keluarga, mengabaikan nafkah kepada keluarga ataupun bermasalah yang melampau dalam ekonomi sehingga tidak mampu memberi nafkah kepada anak dan isteri.
1.      Wanita boleh meletakkan syarat semasa akad nikah supaya diberi hak untuk bercerai. Bagaimanapun, hal ini hanya dipersetujui oleh Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad bin Hanbal. Nas naqli yang menyokong persyaratan semasa akad itu ialah:
“Syarat yang paling berhak ditunaikan ialah syarat-syarat yang berkaitan penghalalan ijmak.” (Muttafaq ‘alaih)
2.      Khuluk atau Tebus Talak. Wanita yang sudah tawar hati kepada suaminya boleh menebus dirinya dari suami dengan mengembalikan semula mahar yang diambil. Dr Yusof al-Qaradawi menerangkan bahawa pengembalian semula mahar itu kerana adalah tidak adil jika si isteri ingin berpisah serta meruntuhkan rumahtangga sedangkan si suami sahaja menanggung kerugian.
Definisi Khuluk.
Menurut Sayyid Sabiq di dalam kitabnya Fiqh al-Sunnah, fuqaha’ mendefinisikan khuluk sebagai perpisahan antara lelaki dengan wanitanya dengan memberi wang atau sebagainya yakni tebusan akan diperolehi oleh si suami. Kalimah al-khuluk terbit dari kalimah ‘menanggalkan pakaian sekiranya berada pada badannya’. Rasionalnya, kerana wanita ibarat pakaian kepada lelaki dan lelaki  pakaian kepada wanita.
Pensyariatan Khuluk.
Firman Allah yang dijadikan dalil pensyariatan khuluk ialah:
“Kalau kamu khuwatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa-mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu).”  (Surah al-Baqarah 2: 229)
Dalil daripada hadis yang dijadikan sumber hukum khuluk pula berbunyi:
“Daripada Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa pada suatu hari, isteri Tsabit bin Qais telah mengadu kepada Rasulullah s.a.w tentang kemarahannya yang amat sangat terhadap suaminya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Mafhumnya, ‘Adakah kamu telah menyerahkannya kembali kebunnya?’ (Kebun tersebut ialah mas kahwinnya). Jawab isteri Tsabit: ‘Ya.’ Lalu Rasulullah s.a.w mengarahkan Tsabit agar mengambil kembali kebun tersebut dan tidak boleh meminta lebih dari itu.” (Riwayat Bukhari, al-Nasaie).
Lafaz Khuluk
Lafaz khuluk berbunyi daripada pihak suami, “kamu diceraikan dengan sejumlah sekian” Kemudian si isteri membalas, “Aku terima.” Sayyid Sabiq menjelaskan dengan lebih teliti bahawa, lafaz sebenarnya mempunyai kedudukan yang unik dan tersendiri dalam hakikat akad dan maqasidnya. Apabila wujud lafaz itu, jelaslah kepada kita bahawa khuluk itu membatalkan perkahwinan walau bagaimanapun kalimah lafaz yang ditutur oleh di suami, hatta dengan lafaz cerai atau talak.
Hendaklah difahami, bahawa jika si isteri menebus talak, si isteri tidak berhak mendapat mut’ah. Mut’ah bererti pemberian saguhati daripada pihak suami kepada pihak isteri setelah berlaku perceraian secara sah. Namun, khuluk menghalang pihak isteri daripada mendapatkan mut’ah tersebut.
Butir-butir Perbezaan
khuluk
Cerai
Siapa yang memulakan?
Isteri yang menuntut di mahkamah
Suami yang menjatuhkan talak/cerai
Mut’ah
Isteri mengembalikan semula mahar dan tidak berhak mendapat mut’ah.
Suami wajib memberi mut’ah, mas kahwin terhutang.
Semasa iddah
Semasa dalam iddah selepas lafaz khuluk, isteri tidak terkesan apa-apa sekiranya suami sekali lagi menjatuhkan talak, zihar, ila’.
Sekiranya dalam iddah selepas cerai, si isteri masih terkesan sekiranya si suami melafazkan lagi cerai kedua, zihar dan ila’.
Bilakah waktu yang dibenarkan untuk berpisah?
Khuluk boleh berlaku semasa haid atau suci.
Makruh menjatuhkan talak sewaktu haid.

3.      Perceraian melalui dua hakam. Allah s.w.t berfirman di dalam al-Quran al-Karim;
Suami isteri yang sedang dilanda persengketaan, maka dibolehkan melantik orang tengah untuk mendamaikan dan menyatukan mereka kembali. Jika masih panjang jodohnya, maka Allah akan menyatukan kembali kedua-dua hati pasangan suami isteri tersebut. Namun, jika si isteri sudah tawar hati, maka pilihan kepada si isteri samada untuk meneruskan atau membatalkan ikatan.
“dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah “orang tengah” (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua “orang tengah” itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik.” (Surah al-Nisa’ 4 :35)
4.      Perpisahan disebabkan masalah hubungan kelamin. Jika si suami mempunyai masalah atau penyakit dari segi hubungan jenis, maka isteri berhak membawanya ke mahkamah untuk mendapatkan perintah cerai demi mengelakkan kemudaratan. Alangkah adil dan saksama agama Islam ini. Tidak langsung menindas kaum wanita supaya terus-terusan menderita dalam hal ini kecuali kesabaran itu datang daripada pihak isteri sendiri sebagai kesetiaan kepada suaminya.
5.      Berpisah kerana kemudaratan yang ditanggung oleh isteri. Islam memberi hak kepada kaum wanita yang dimudaratkan oleh suaminya samada melalui penderaan fizikal, tidak memberinya nafkah atau menyakitinya untuk menuntut hakim supaya memisahkan mereka berdua kerana tiada istilah mudarat dan memudaratkan dalam kamus orang Islam. Kemudian, hakim akan memerintahkan si suami supaya mengucap talak secara paksa.
Sangat jelas apabila Allah Taala sendiri berfirman dalam al-Quran:
“janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula dengan maksud memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka)” (Surah al-Baqarah 2: 231)
Ini adalah dari kitab fiqah. Berkenaan dengan prosedur dan perlaksanaan mahkamah, itu bab administrasi yang perlu pihak isteri selesaikan dan bincangkan dengan pihak mahkamah.
  


Hukum ke atas Transgender: Bukan Islam Tidak Memahamimu


Mutakhir ini, isu transgender yang diluluskan oleh Mahkamah Rayuan untuk mengisytihar kebebasan mereka berpakaian menjadi isu panas. Tersebar di seluruh media elektronik dan cetak. Pelbagai luahan kita dengar dari golongan transgender ini seolah-olah semua orang tidak memahami mereka. Benarkah dakwaan ini? Adakah mereka benar-benar penjenayah? Bagaimana dengan hukum-hakam ibadah ke atas mereka?
Siapakah transgender?
Transgender: Lelaki yang tingkah lakunya seperti wanita dan wanita yang tingkah lakunya seperti lelaki.
Tranvestit: Lelaki yang berpenampilan seperti wanita dan wanita yang berpenampilan seperti lelaki.
Transeksual: Lelaki yang merasakan dia seorang wanita dan wanita yang merasakan dia seorang lelaki. Ada yang membuktikan perasaan itu dengan melakukan pembedahan bagi menukar alat kelamin.
Transgender juga boleh diterjemahkan sebagai satu bentuk gejala ketidakpuasan hati seseorang kerana merasakan alat kelamin yang dipunyai tidak seiring dengan kejiwaan dan juga fizikal yang diciptakan untuknya.
Ilmu psikologi menerangkan kepada kita bahawa punca terjadinya gejala transgender ini disebabkan  faktor baka keturunan (hormon dan genetik) dan juga factor suasana tumbesarannya (pendidikan seks sewaktu kecilnya salah). Oleh itu, para ibu bapa wajib memastikan gender anak-anak mereka seiring dengan alat kelamin yang dianugerahkan kepada anak-anak.  
Menurut laman sesawang dakwatuna.com, ada menyebutkan J.P. Chaplin dalam Dictionary of Psyhcology (1981) ada menyatakan, situasi gender ini boleh dikategorikan sebagai salah satu dari reaksi psikotis. Antara karakter yang ketara bagi seorang transgender yang tertekan dengan jiwanya sendiri dengan cenderung mengurung diri akibat emosinya yang terganggu dan semua tindak tanduk negative yang terbit dari bahasa badannya.
Rentetan tiada rawatan yang diambil dengan karakter psikotis seorang transgender, ditambah tiada islam dan iman yang menjadi pemandu kepada jalan keluar dan terlalu bermain dengan emosi dan perasaan, maka akan berlakulah keadaan yang lebih serius seperti transeksual seperti yang telah diterangkan takrif istilahnya di atas.
Meskipun punca transgender ini disebabkan faktor kesihatan seperti yang dilaporkan dari laman sesawang berita internet, antarapos iaitu Gender Identity Disorder (G.I.D), Islam meletakkan satu solusi yang dapat menjamin kesejahteraan umat manusia seluruh alam iaitu: 
 Tunjang Asas Hukum Penukaran Jantina
Hadis Junjungan Mulia SAW yang menjadi tunjang dalam isu kritikal ini.
“Bukan dari golongan kami siapa saja wanita yang menyerupai lelaki dan siapa saja lelaki yang menyerupai wanita.” (Musnad Ahmad)
‘Abdullah ibn ‘Abbas r.a. menerangkan bahawa: “Rasulullah s.a.w. melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.” (Shahih al-Bukhari

Pembedahan alat kelamin melibatkan tiga hukum;
1)      Sejak lahir memiliki alat kelamin yang normal. Bertambah dewasa, membuat pembedahan untuk menukar alat kelamin tersebut. Mengapa? Kerana mendakwa jiwanya terperangkap dalam jasad lelaki. Jiwanya, pemikirannya, tingkah lakunya, penampilan pemakaiannya adalah perempuan. Di kalangan perubatan moden, manusia seperti ini dikenali sebagai Gender Identity Disorder (GID). Hukum: haram pembedahan seperti ini kerana mengubah ciptaan Allah. Kalau sudah membuat pembedahan tersebut, maka hendaklah mengembalikannya semula kepada keadaan semula.
2)      Sejak lahir, individu ini mempunyai kecacatan pada alat sulit atau permasalahan lain contohnya, zakar atau faraj yang tidak mempunyai lubang. Mengapa perlu pembedahan? Pembedahan diperlukan untuk pembaikan atau penyempurnaan alat sulitnya. Hukumnya: Dibolehkan bahkan dianjurkan untuk menjaga kesihatan fizikal.
3)      Sejak lahir, mempunyai dua alat kelamin, zakar dan faraj. Dipanggil juga sebagai khunsa. Mengapa perlu dibedah? Operasi dilakukan untuk tujuan pembuangan salah satu alat sulit dalam rangka tashih (pembaikan) dan takmil (penyempurnaan). Hukumnya: Wajib bagi orang tua melihat dan menilai kecenderungan si anak apabila semakin membesar ke arah manakah jiwanya dan pemikirannya? Jika seperti perempuan, pembedahan yang dilakukan mestilah untuk mengekalkan faraj dan membuang zakar. Begitu juga sebaliknya. Dr Wahbah Zuhaili menyatakan dalam kitabnya, penentuan harta warisan bagi khunsa mestilah didasarkan kepada organ dalaman yang dimiliki seperti Rahim sistem ovari dan kilang sperma, kecenderungan sifat dan tingkah lakunya. Setelah melakukan pemebedahan, hukum harta warisan ke atas mereka ini menjadi lebih kukuh dan jelas. Bagi ulama kelahiran Syria ini, proses pembedahan untuk pembaikan dan penyempurnaan bukan sahaja dibolehkan bahkan diwajibkan untuk penentuan hukum-hakam yang lain dalam kehidupan.
Rayuan dari Sudut Pandang Undang-Undang.
Saya agak ralit membaca beberapa kertas kerja yang ditulis oleh mantan ketua hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berkenaan isu hak asasi kemanusiaan di laman sesawang beliau www.tunabdulhamid.my.  Antara penekanan beliau ialah, hak asasi kemanusiaan yan bagaimanakah perlu kita perjuangkan selaku bergelar seorang Muslim di atas dunia. Beliau menjelaskan sekitar Universal Declarations of Human Rights (UDNR) yang diluluskan oleh United Nation General Assembly, The Cairo Declaration on Human Rights in Islam (Deklarasi Kaherah) dan juga perlembagaan persekutuan (Federal Constitution); tuntutan setiap perlembagaan dan juga bidang kuasa undang-undang perlembagaan persekutuan. Sepintas lalu bidang kuasa mahkamah rayuan dan undang-undang syariah di Malaysia.
 Tindakan 3 orang lelaki Muslim yang berpenampilan seperti perempuan sejak muda mengutarakan kepada Mahkamah Tinggi (High Court) bahawa enakmen syariah seksyen 66 Negeri Sembilan 1992 (EJNS) adalah bercanggah dengan perlembagaan persekutuan, maka ia tidak sah dan batal. Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka dan mereka merayu ke Mahkamah Rayuan.
Rayuan diutarakan kerana enakmen jenayah syariah enakmen 66 (EJNS) dikatakan bercanggah dengan Perkara 5(1) kebebasan diri, 8(1) hak kesamarataan,  8 (2) diskriminasi, 9(2) kebebasan bergerak dan 10 (1)(a) kebebasan bercakap dan bersuara. Tun Abdul Hamid Mohamad menyebutkan lagi, jika para hakim itu telah mengabaikan peruntukan perlembagaan persekutuan yang mengiktiraf kesalahan terhadap perintah agama Islam iaitu pada perkara 153.
Perkara 153 berbunyi,
“kedudukan agama Islam dan bahasa Melayu dan pemakaian Syari’ah dalam undang-undang keluarga bagi orang-orang Islam. (Peruntukan Perkara 153 kerapkali disebut sebagai “hak keistimewaan orang Melayu” pada hal tajuk sebenarnya ialah “perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit, dsb bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.” Peruntukan yang serupa pun terdapat dalam Perlembagaan India – Perkara 16).”

Tambahan pula, lelaki-lelaki Islam yang memperjuangkan isu hak kesamarataan tersebut mengambil tafsiran kebebasan dan hak kesamarataan tersebut menurut tafsiran penghakiman-penghakiman Supreme Court Amerika Syarikat dan India. Dengan kata lain, mengambil kira tafsiran UDHR. Perlu kita ingat, perlembagaan mereka tidak sama dengan perlembagaan kita. Maka, jadilah tafsirannya bersifat liberal. Ini yang perlu kita cermati dan berhati-hati.
Mantan Ketua Hakim Negara turut berkata bahawa, sudah terang bahawa para hakim perlu mentafsir setiap setiap kes berdasarkan peruntukan pelembagaan persekutuan. Mana-mana deklarasi atau undang-undang yang bercanggah dengan perlembagaan persekutuan adalah terbatal dan tidak sah meskipun UDHR yang digunapakai di seluruh antarabangsa.  
Akibat Rentetan Pembatalan Enakmen Syariah
Akibat yang akan menjalar seperti parasit apabila Mahkamah Rayuan Putrajaya meluluskan rayuan permohonan tiga orang lelaki Islam berpakaian wanita:
1.      Pegangan umat Islam kepada hadis-hadis Nabi S.A.W akan mula goyah kerana manusia masih lagi mahu menterjemahkan hadis-hadis Rasulullah SAWmengikut tafsiran sendiri, tidak berpandukan tafsiran ulama muktabar.
2.      Sedikit demi sedikit enakmen-enakmen Syariah yang lain bukan sahaja di Negeri Sembilan tetapi di negeri-negeri lain akan dituntut batal demi menuntut hak kesamarataan dan hak asasi manusia.
3.      Kaum wanita hidup dalam keadaan tidak selamat terutama jika singgah di tandas-tandas awam kerana kaum transgender sudah diberi hak kesamarataan antara lelaki dan peremuan walaupun dalam berpakaian.
Kesudahannya?
Dilaporkan pada tahun 2010, JAKIM dan JAIN (Jabatan Agama Islam Negeri)atas inisiatif mereka yang mulia, membuat program Mukhayyam dengan golongan transgender ini dan program tersebut berjaya menarik 1000 orang transgender yang mempunyai kecelaruan identiti sejak kecil supaya meninggal aktiviti songsang mereka. Ini bermakna, bukannya mustahil untuk golongan transgender itu berubah kepada identiti sesuai dengan alat sulit yang diciptakan oleh mereka.
Antara solusi yang dicadangkan seperti berikut:
1.      Mampu mendidik dan menguasai diri-sendiri untuk menyelesaikan masalah ini.
2.      Tangunjawab ibu bapa membesarkan anak-anak dengan betul
3.      Seimbangkan peranan ibu dan ayah
4.      Melalui pendidikan seks yang betul
5.      Memilih kawan-kawan dan suasana yang membantu
6.      Masyarakat jangan menyisih mereka
7.      Memahami konsep takdir dengan betul
Ketahuilah wahai umat manusia, Islam bukan diturunkan untuk menyusahkan hidup manusia di dunia. Setiap perintah agama Islam untuk bermatlamatkan kesejahteraan manusia di dunia dan akhirat. Kita perlu tanya diri-sendiri, kita yang perlu mengikut agama atau agama yan perlu ikut kita? Bagi golongan transgender, apa yang berlaku ke atas diri kalian adalah ujian Allah dan untuk keluar dari masalah tersebut, perlu bertanya kepada penawar wahyu juga. Hidup akan bahagia. Perlu Mujahadah dan sokongan dari semua pihak terutama ahli keluarga.