Monday, March 23, 2015

Apabila Isteri Sudah Bencikan Suaminya…


Pernah saya ditanya oleh seorang ibu beranak dua tentang apakah tindakan yang sepatutnya dibuat apabila dia sudah bosan dan tawar hati dengan suaminya yang bermasalah. Masalah dari sudut agama dan akhlaknya yang tidak meningkat-ningkat. Solat pun tidak. Balik rumah seminggu sekali apabila dirinya hubungan jenis diperlukan. Pernah pula suaminya ini ditangkap oleh isterinya sendiri berdua-duaan di dalam pejabatnya dengan seorang rakan kerja wanita ketika tiada seorangpun di dalamnya. Semoga ibu ini diberi taufik dan terlepas dari belenggu itu. Amin.
Islam memberi kuasa kepada suami untuk menceraikan isteri jika isterinya nusyuz dan tidak mahu berubah setelah dilaksanakan semua langkah-langkah didikan untuk membetulkan perangai isteri nusyuz ini. Bagaimana pula jika si suami pula mempunyai masalah dari segi agama dan akhlak yang tidak memuaskan hati si isteri sepertimana kes di atas.
Jika kebencian dan ketidakpuasan hati daripada pihak suami, maka dia berhak menceraikan isteri dan terdapat beberapa ketetapan-ketetapan yang wajib dipatuhi oleh si suami setelah bercerai. Namun, andai kebencian dan ketidakpuasan hati daripada pihak isteri, maka Islam mengharuskannya menamatkan perkahwinan mereka dengan khuluk atau orang melayu memanggilnya sebagai tebus talak.
Dr. Yusof al-Qaradawi di dalam bukunya, Ciri-ciri Unggul Masyarakat Islam yang Kita Idamkan mengutarakan beberapa jalan yang telah disediakan oleh syarak apabila timbul persoalan si isteri sudah bosan dengan suaminya yang cuai dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua keluarga, mengabaikan nafkah kepada keluarga ataupun bermasalah yang melampau dalam ekonomi sehingga tidak mampu memberi nafkah kepada anak dan isteri.
1.      Wanita boleh meletakkan syarat semasa akad nikah supaya diberi hak untuk bercerai. Bagaimanapun, hal ini hanya dipersetujui oleh Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad bin Hanbal. Nas naqli yang menyokong persyaratan semasa akad itu ialah:
“Syarat yang paling berhak ditunaikan ialah syarat-syarat yang berkaitan penghalalan ijmak.” (Muttafaq ‘alaih)
2.      Khuluk atau Tebus Talak. Wanita yang sudah tawar hati kepada suaminya boleh menebus dirinya dari suami dengan mengembalikan semula mahar yang diambil. Dr Yusof al-Qaradawi menerangkan bahawa pengembalian semula mahar itu kerana adalah tidak adil jika si isteri ingin berpisah serta meruntuhkan rumahtangga sedangkan si suami sahaja menanggung kerugian.
Definisi Khuluk.
Menurut Sayyid Sabiq di dalam kitabnya Fiqh al-Sunnah, fuqaha’ mendefinisikan khuluk sebagai perpisahan antara lelaki dengan wanitanya dengan memberi wang atau sebagainya yakni tebusan akan diperolehi oleh si suami. Kalimah al-khuluk terbit dari kalimah ‘menanggalkan pakaian sekiranya berada pada badannya’. Rasionalnya, kerana wanita ibarat pakaian kepada lelaki dan lelaki  pakaian kepada wanita.
Pensyariatan Khuluk.
Firman Allah yang dijadikan dalil pensyariatan khuluk ialah:
“Kalau kamu khuwatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa-mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu).”  (Surah al-Baqarah 2: 229)
Dalil daripada hadis yang dijadikan sumber hukum khuluk pula berbunyi:
“Daripada Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa pada suatu hari, isteri Tsabit bin Qais telah mengadu kepada Rasulullah s.a.w tentang kemarahannya yang amat sangat terhadap suaminya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Mafhumnya, ‘Adakah kamu telah menyerahkannya kembali kebunnya?’ (Kebun tersebut ialah mas kahwinnya). Jawab isteri Tsabit: ‘Ya.’ Lalu Rasulullah s.a.w mengarahkan Tsabit agar mengambil kembali kebun tersebut dan tidak boleh meminta lebih dari itu.” (Riwayat Bukhari, al-Nasaie).
Lafaz Khuluk
Lafaz khuluk berbunyi daripada pihak suami, “kamu diceraikan dengan sejumlah sekian” Kemudian si isteri membalas, “Aku terima.” Sayyid Sabiq menjelaskan dengan lebih teliti bahawa, lafaz sebenarnya mempunyai kedudukan yang unik dan tersendiri dalam hakikat akad dan maqasidnya. Apabila wujud lafaz itu, jelaslah kepada kita bahawa khuluk itu membatalkan perkahwinan walau bagaimanapun kalimah lafaz yang ditutur oleh di suami, hatta dengan lafaz cerai atau talak.
Hendaklah difahami, bahawa jika si isteri menebus talak, si isteri tidak berhak mendapat mut’ah. Mut’ah bererti pemberian saguhati daripada pihak suami kepada pihak isteri setelah berlaku perceraian secara sah. Namun, khuluk menghalang pihak isteri daripada mendapatkan mut’ah tersebut.
Butir-butir Perbezaan
khuluk
Cerai
Siapa yang memulakan?
Isteri yang menuntut di mahkamah
Suami yang menjatuhkan talak/cerai
Mut’ah
Isteri mengembalikan semula mahar dan tidak berhak mendapat mut’ah.
Suami wajib memberi mut’ah, mas kahwin terhutang.
Semasa iddah
Semasa dalam iddah selepas lafaz khuluk, isteri tidak terkesan apa-apa sekiranya suami sekali lagi menjatuhkan talak, zihar, ila’.
Sekiranya dalam iddah selepas cerai, si isteri masih terkesan sekiranya si suami melafazkan lagi cerai kedua, zihar dan ila’.
Bilakah waktu yang dibenarkan untuk berpisah?
Khuluk boleh berlaku semasa haid atau suci.
Makruh menjatuhkan talak sewaktu haid.

3.      Perceraian melalui dua hakam. Allah s.w.t berfirman di dalam al-Quran al-Karim;
Suami isteri yang sedang dilanda persengketaan, maka dibolehkan melantik orang tengah untuk mendamaikan dan menyatukan mereka kembali. Jika masih panjang jodohnya, maka Allah akan menyatukan kembali kedua-dua hati pasangan suami isteri tersebut. Namun, jika si isteri sudah tawar hati, maka pilihan kepada si isteri samada untuk meneruskan atau membatalkan ikatan.
“dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah “orang tengah” (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua “orang tengah” itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik.” (Surah al-Nisa’ 4 :35)
4.      Perpisahan disebabkan masalah hubungan kelamin. Jika si suami mempunyai masalah atau penyakit dari segi hubungan jenis, maka isteri berhak membawanya ke mahkamah untuk mendapatkan perintah cerai demi mengelakkan kemudaratan. Alangkah adil dan saksama agama Islam ini. Tidak langsung menindas kaum wanita supaya terus-terusan menderita dalam hal ini kecuali kesabaran itu datang daripada pihak isteri sendiri sebagai kesetiaan kepada suaminya.
5.      Berpisah kerana kemudaratan yang ditanggung oleh isteri. Islam memberi hak kepada kaum wanita yang dimudaratkan oleh suaminya samada melalui penderaan fizikal, tidak memberinya nafkah atau menyakitinya untuk menuntut hakim supaya memisahkan mereka berdua kerana tiada istilah mudarat dan memudaratkan dalam kamus orang Islam. Kemudian, hakim akan memerintahkan si suami supaya mengucap talak secara paksa.
Sangat jelas apabila Allah Taala sendiri berfirman dalam al-Quran:
“janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula dengan maksud memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka)” (Surah al-Baqarah 2: 231)
Ini adalah dari kitab fiqah. Berkenaan dengan prosedur dan perlaksanaan mahkamah, itu bab administrasi yang perlu pihak isteri selesaikan dan bincangkan dengan pihak mahkamah.
  


8 comments:

  1. maaf sy ingin bertanya, sekira isteri sudah tawar hati pada suami dan meminta tebus talak, adakah ia mengundang kemurkaan Allah sekiranya si suami enggan melepaskannya pergi?

    ReplyDelete
  2. Saya ingin bertanya..jika si isteri mmg terlalu tawar hati dengan si suami..dan si suami plk tidak mahu menceraikan walaupun telah di bawa berbincang..apakh lngkah yg ptt pasangn ini buat...mohon penjelasan

    ReplyDelete
  3. Saya ingin bertanya..jika si isteri mmg terlalu tawar hati dengan si suami..dan si suami plk tidak mahu menceraikan walaupun telah di bawa berbincang..apakh lngkah yg ptt pasangn ini buat...mohon penjelasan

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum. Mohon maaf krn lambat ye puan. Baru tengok blog. Di dalam islam, dan juga menurut langkah yang digariskan di malaysia ini, si isteri bolehlah ke pejabat agama islam utk meminta pandangan atau nasihat mereka. Pjbt agama biasa ada jwpn jika si isteri yg dirundung mslh sprti ini. Ada sesetengah istri yg mempunyai suami yg bermasalah menuntut khuluk atau kita panggil tebus talak di mahkamah syariah. Tapi khuluk ni, si isteri yg mesti membayar kpd suami mahar. Wallahualam.

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum. Mohon maaf krn lambat ye puan. Baru tengok blog. Di dalam islam, dan juga menurut langkah yang digariskan di malaysia ini, si isteri bolehlah ke pejabat agama islam utk meminta pandangan atau nasihat mereka. Pjbt agama biasa ada jwpn jika si isteri yg dirundung mslh sprti ini. Ada sesetengah istri yg mempunyai suami yg bermasalah menuntut khuluk atau kita panggil tebus talak di mahkamah syariah. Tapi khuluk ni, si isteri yg mesti membayar kpd suami mahar. Wallahualam.

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum. Maafkan sy utk bertanya. Sy mmg sudah tawar hati dgn suami. Hubungan sy lebih pd kasihan kerana suami pnt bekerja.. sy xnk lg menanggung dosa kerana tdk memenuhi kemahuannya. Sy sentiasa mencari alasan utk tdk bersama... tetapi suami tetap tdk mahu melepaskan sy... tolonglah saya... dia juga pernah memberi tahu jika kami berpisah dia tdk mahu ambil tahu berkenaan anak2... apa yg perlu sy lakukan...terimakasih.

    ReplyDelete
  7. Assalam puAn..
    Isteri saya dan saya sedang menunggu sebut kes kami tak lama lagi.isteri saya telah failkan tuntutan cerai tempohhari..masalahnya,isteri saya dah tawar hati demgan saya..oleh sebab saya dulu masa tengah down tidak mempedulikan masalah dia dan rumahtangga..dah banyak kali dia memberi peluang pada saya sehingga titik terakhir..saya dah 2 kali pergi pejabat agama..tapi saya masa tu bersikap ego..sehinggalah isteri saya sudah tak dapat menerImA saya lagi..tapi saya masih sayangkan isteri saya dan anak2. Dan saya dah baeejanji utk berubah tapi dia tetap dengan keputusanya..boleh bagi cpandangan bagaimana lagi sayanak pujuk hatinya..kerana dia bilang dia sudah berdoa, jika saya jodoh terbaik baginya dipanjangkan jodoh tapi jika bukan diminta dihilangkan perasaaan pada saya..saya buntu kerana saya masih sayangkan dia dan tak samggup utk melepaskanya kelak..

    ReplyDelete
  8. Assalamualaikum puan azlinda.. Bole tak sy dpt kan email puan kerana sy ingin menyatakan masalah sy serta memerlukan pandangan dari puan kerana sy sudah sudah terlalu buntu dgn mslh sy hadapi. Terima kasih puan.

    ReplyDelete