Saturday, June 27, 2015

Apabila serumah dengan Ipar duai





Uniknya wanita! Diciptakan dengan begitu teliti oleh Yang Maha Teliti, Allah Jalla wa ‘Ala. Dipelihara kesucian diri dan diangkat martabat diri wanita dengan penetapan secara khusus aurat dan adab dirinya sehingga wanita yang memelihara aurat diri akan dikenali dan dihormati lantas tidak diganggui. 

Aurat Wanita Menurut Empat Mazhab Fiqah

Menurut Ulama Damsyiq, Dr Wahbah Zuhaily (1985, Jilid 3, 561-564) di dalam kitabnya yang  masyhur Fiqh Islam wa Adillatuhu, seputar subtopik ‘Lelaki Melihat Perempuan’, kesimpulan tentang had-had aurat wanita yang  boleh dilihat dan haram dilihat oleh lelaki bolehlah dirangkumkan sebagaimana jadual di bawah:
Kategori wanita
Isteri dan hamba perempuan
Wanita yang mahram mu’abbad dikahwini bagi lelaki samada disebabkan nasab, perkahwinan atau susuan; Ibu, Ibu saudara, Ibu mentua, adik/kakak perempuan.
Wanita ajnabi (asing) yang boleh dikahwini, wanita mahram muaqqat; wanita yang tiada pertalian darah, sepupu, ipar duai dan keluarga angkat.
Batas-batas aurat wanita yang dilihat lelaki
Ittifaq Jumhur Ulama:
J  Tiada aurat antara suami dengan isteri dan terhadap hamba wanita. Dibolehkan melihat dan menyentuh seluruh badan isteri/hamba wanita termasuklah faraj menurut ittifaq mazhab meskipun sesetengah pendapat mengatakannya makruh.
1.       Mazhab Hanabilah:
J  Harus melihat anggota badan wanita yang biasa terzahir seperti kepala, rambut, leher, wajah, tapak kaki dan tangan.
L  Tidak boleh melihat yang tersembunyi seperti dada dan belakang wanita terbabit.

2.      Mazhab Hanafiah:
J  Kawasan yang harus dilihat oleh seorang lelaki: wajah, kepala, dada, dari lutut ke tapak kaki dan dari siku ke bahu.
L  Kawasan yang tidak boleh dilihat: Perut dan belakang.

3.      Mazhab Malikiah:
J  Harus melihat wajah dan kakinya sahaja.

4.      Mazhab Syafi’iah:
J  Qaul 1: Seorang  lelaki baligh harus melihat tanpa syahwat kepada wanita mahram muabbad anggota badannya kecuali dari lutut ke pusat.
L  Jika timbul rasa syahwat apabila melihat selain dari lutut ke pusat, haram hukumnya.
L  Qaul 2: Seluruh badan aurat kecuali dua tapak tangan dan wajah.
1.       Mazhab Hanafiah + Mazhab Malikiah:
J  Haram melihat seluruh  badan wanita ajnabi  kecuali wajah dan tapak tangan sahaja.
J  Jika tidak aman dari fitnah, maka tidak boleh melihat wajah wanita ajnabi tersebut kecuali dalam  keadaan darurat sahaja.
J  Boleh melihat wajah dan tangan orang tua tetapi tidak digalakkan kepada para pemuda  melihat wajah dan tangan wanita ajnabi kecuali pada beberapa keadaan darurat sahaja.  

2.      Mazhab Syafi’iah+ Mazhab Hanabilah:
J  Haram melihat kepada wanita ajnabi termasuklah wajah dan tangannya. Hukum ini dituju kepada lelak                   i baligh dan berakal samada tua atau dewasa, khunsa, meskipun dia lemah daya seksualnya, aman dari syahwat atau disertai rasa syahwat.
J  Menutup wajah (memakai purdah) wajib disebabkan ianya maslahah am.
J  Al-Qadhi ‘Iyadh berpendapat: Menutup wajah (memakai purdah) tidak wajib tetapi sunnah dan orang lelaki wajiblah menundukkan pandangannya dari melihat wanita.   

Dalil aurat wanita

1.      Surah  al-Nur 24: 31
“dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
2.      Surah al-Nur 24: 60-61
“dan mana-mana perempuan tua yang telah putus kedatangan haid, yang tidak mempunyai harapan berkahwin lagi maka tidak ada salahnya mereka menanggalkan pakaian luarnya, dengan tidak bertujuan mendedahkan perhiasan mereka; Dalam pada itu perbuatan mereka menjaga kehormatannya (dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya itu adalah) lebih baik bagi mereka; dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.”

3.      Menurut satu hadith dari Aishah, pernah kakaknya Asma’ datang menemui Rasulullah s.a.w. dengan pakaian yang nipis. Rasulullah s.a.w. dengan segera memalingkan mukanya dan berkata: “Wahai Asma’, apabila seorang wanita telah baligh, dilarang membuka bahagian badannya kecuali muka dan tangan.” (Abu Daud)
Aurat wanita dengan ipar/sepupu yang tinggal serumah VS ipar/sepupu yang tidak tinggal serumah
“Kitakan satu keluarga, janganlah sampai tidak bersalam atau pakai tudung atau pakai stoking semasa berziarah sesama anak-beranak?! Biar mati anak, jangan mati adat!” Kata orang-orang  melayu Islam yang cetek ilmu agamanya. 

Ipar ialah saudara kepada suami atau isteri contohnya, abang, kakak atau adik kepada suami atau isteri. Ipar duai ini tergolong dalam mahram muaqqat (haram dikahwini bertempoh). Jika bercerai suami isteri, halal bagi bekas suami menikahi adik perempuan atau kakak isteri dan begitu juga sebaliknya.

Sepupu pula anak-anak kepada ibu dan bapa saudara yag mana Islam mengharuskan perkahwinan sesama sepupu.

Dengarkan baik-baik duhai saudara seislamku. Ada pesan Rasul s.a.w buat kita tentang batasan aurat dengan ipar duai. 

Daripada Uqbah bin ‘Amir bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: 
“Hati-hatilah kamu masuk kawasan (menemui) wanita. Seorang lelaki dari kaum Ansar berkata: ‘Ya Rasulullah, apa pandanganmu dengan hamwu (bagi wanita, kerabat dari sebelah suaminya seperti bapa mentua, adik-beradik lelaki suaminya, bapa saudara suaminya dan begitulah sebaliknya bagi lelaki)? Rasul menjawab: ‘Hamwu itu maut!’” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Ini bermakna, ipar duai tergolong dalam al-hamwu dan wanita perlu lebih berhati-hati menjaga diri dan aurat ketika berada dalam satu rumah kerana fitnah bersama al-hamwu lebih besar dan merbahaya.
Hukum asal (azimah) aurat antara wanita dan lelaki ajnabi ataupun mahram muaqqat samada memperlihat atau bersalaman semasa perayaan dan sebagainya ialah haram. Malangnya, kebanyakan orang Islam bermudah-mudah dengan hukum ini dek kejahilan yang menguasai.

Bolehkah membuka tapak kaki hingga ke buku lali dan sedikit bahagian lengan apabila tinggal serumah dengan ipar duai dan sepupu?

Beralasan memudahkan urusan kerja di dapur seperti membasuh pinggan mangkuk dan keluar masuk bilik? Ya, di sini jelas sekali kepelbagaian mazhab fiqah dari ahli sunnah wal jamaah meleraikan musykilah.
Bagi yang bermazhab Hanafi, memang ijtihad mereka bahawa kaki tidak termasuk aurat kerana kesukaran untuk menjaganya. Namun, ulama syafi’iah yang lebih terkenal dengan sikap lebih teliti dan berhati-hati menetapkan kaki wanita masih termasuk aurat dalam apa keadaan sekalipun. 
 Bagaimanapun, jalan keluar untuk permasalahan ini dinukilkan daripada ulama bermazhab Syafi’iah seperti Dr. Wahbah Zuhaily (Jilid 3, 563) bahawa “apa yang dihalalkan kerana darurat mengikut kadarnya”.  Juga, Dr. Abdul Karim Zaidan (Al-Mufassol, Jilid 3, 200) dalam mentarjihkan (memilih pendapat paling kuat) mengatakan, “hendaklah ditutup kaki dari ajnabi tetapi boleh disingkap sekiranya terdapat hajat/keperluan seperti wanita kampung yang turun ke sawah bendang atau wanita fakir miskin yang tiada kasut untuk dipakai.” 

Jadi, fahamlah kita bahawa diberi keringanan (rukhsah) membuka aurat kaki dan menyingsing sedikit lengan semasa membasuh pinggan mangkuk jika wanita tersebut tinggal serumah dengan ipar duainya atau sepupunya berdasarkan kaedah fiqhiah:

Al-masyaqqah tajlibu al-taisir (kepayahan  membuka kemudahan)

Khusus kaki dan sedikit lengan sahaja…

Keringanan ini terbuka kepada kaki dan sedikit lengan sahaja. Adapun, kepala dan rambut wajib ditutup. Wangian haram dipakai kerana ia boleh menjentik syahwat ipar duai mahupun sepupu yang menetap serumah. Khalwat atau berada berdua sahaja di dalam sebuah rumah antara seorang wanita dengan iparnya atau sepupunya tetap tidak dibolehkan kerana ia bakal mengheret kepada masalah syahwat yang lebih ganas sehingga boleh berakhir kepada zina. Semua situasi di atas berdasarkan kaedah usul fiqh:
Saddu al-zaraa’i (Menutup pintu-pintu keburukan)  

Sebagaimana ittifaq jumhur ulama, perintah hukum asal iaitu wajib menutup seluruh badan kecuali muka dan tangan terus berlaku ke atas ipar duai atau sepupu-sepapat yang tidak tinggal serumah dengan wanita terbabit. Contohnya, sewaktu berziarah saudara-mara terutama meraikan perayaan atau kenduri-kendara seperti menghidang air untuk tetamu, wanita wajiblah menutup batasan aurat seperti yang dijelaskan di atas.    

Dalam kecanggihan globalisasi dan dunia tanpa sempadan, umat Islam diterjah kekeliruan dan kejahilan. Yang sepatutnya ditutup, dibuka dan ditayang. Yang wajib dijauhi, didekati bahkan disentuh dan dinikmati. Semuanya akibat larut dalam kejahilan agama, malas mengkaji dan tidak sampai seru lagi!

Zizi Azlinda Mohd Yusof

CELIK MATA HATI






Situasi 1

Apabila pulang ke rumah dari tempat kerja, kepenatan masih terasa walaupun sepanjang hari bekerja di dalam pejabat berhawa dingin. Selepas menunaikan solat fardu Maghrib dan Isyak, badan direbahkan di atas sofa sambil menonton rancangan televisyen. Muncullah rancangan-rancangan yang pelbagai. Hidangan kepada akal dan hati. Sayangnya, kebanyakan rancangan yang diatur banyak mengandungi serangan-serangan saraf yang boleh mengikis keimanan kita kepada Allah SWT. Namun, ramai manusia menonton dengan mata kasar tetapi tidak dengan mata hati.

TV A, pelakon wanita dan lelaki berani beraksi menyalahi syariat Islam. TV B, rancangan-rancangan yang kononnya cuba memaparkan realiti kehidupan metropolitan mendorong manusia berkata, “Inilah cara hidup kami!”, “Inilah realiti hidup masyarakat Kuala Lumpur!” Pelakon pula berkata, “Dah pengarah suruh berlakon macam itu!”, Sekarangkan dah moden, kami boleh pakai apa yang kami suka!”

Walaupun sedang menonton televisyen, sepatutnya fikiran sentiasa berfikir apa yang patut dilakukan untuk merawat krisis iman yang berleluasa hari ini. Apabila melihat bangunan, pokok, kayu, sungai, manusia, haiwan, serangga dan juga benda-benda yang tidak bernyawa, hatinya terus berzikir mengingat Allah Pencipta apa yang ada di langit dan di bumi.

Pembaca-pembaca yang budiman, serangan jahiliah melalui teknologi terlalu bahaya kerana ia menyerang minda, akal, hati dan prinsip kita. Lihatlah dengan mata hati yang beriman. Bukan sekadar bergelak ketawa bersama kawan-kawan dan keluarga semasa menonton TV tetapi fikir apa usaha yang telah dibuat untuk mengubah arus jahiliah moden ini. Aib-aib jahiliah umat islam sekarang semakin menebal. Setiap sudut menyerang iman dan taqwa Muslim semahu-mahunya! Inilah target musuh Islam. Mereka mahu umat Islam beramal dengan Islam separuh-separuh sahaja. Tidak perlu Islam keseluruhan! Cukuplah nama sahaja ala-ala Muslim. Tidak perlulah bersusah payah membina diri menjadi individu Muslim yang boleh mengembalikan kegemilangan Islam.  

Situasi 2

Seorang suami yang diminta membeli buah tembikai di pasar. Dia mendapatkan buah yang masak ranum. Setibanya di rumah, isterinya gembira melihat buah tembikai yang dibeli oleh suaminya. Apabila dibelah, tembikai itu tidak boleh dimakan kerana isinya sudah buruk.Isterinya marah-marah kerana menyangka suaminya tidak memilih dengan baik semasa hendak membeli.

Si suami kemudian bersuara, “Sekarang, aku ingin bertanya kepadamu, adakah kamu sangka aku mahu membeli tembikai yang buruk untuk keluargaku?”
Isterinya menjawab, “Tidak !”

“Jika ditanya kepada penjual tadi, adakah dia mahu menjual tembikai yang buruk-buruk?”
Isterinya menjawab, “Tidak.”

“Jadi, adakah kamu marah kepada Pencipta tembikai ini?” Si isteri terdiam mendengar soalan berbisa itu.

Jadi, terimalah ketentuan ini. Allah izin aku mengambil buah tersebut yang kusangka baik. Sedarlah, jika Allah menghendaki sesuatu, tiada siapa yang dapat menghalangnya.” Isterinya kemudian meminta maaf dengan suaminya dan berterima kasih kerana mengajarinya melihat sesuatu dengan hikmah. 

Pembaca-pembaca yang dirahmati Allah, marilah kita cermati setiap yang berlaku dengan mata hati agar hidup kita tenang!

CELIKLAH MATA HATIKU!

Kerana Baginda Kesayangan Ummah






“Malu rasanya mengatakan cinta, kepada dia kekasih Allah,
Kerana dia insan mulia, sedangkan diriku insan biasa,”
 
Lirik nasyid bertajuk Kekasih Allah yang didendangkan oleh kumpulan Hijaz ini ternyata telah mengetuk pintu hati penulis tatkala mendengarnya. Rindu mula menyeruak kala tabir sirah Junjungan Mulia Muhammad SAW dibaca, dikupas dan dihayati. Benar, betapanya malu dan rendah diri apabila kita menyatakan cinta kepada dia, penghulu para nabi namun, amalan-amalan kita banyak lagi yang tidak mengikut kecintaan kita yang mulia di sisi Allah dan manusia.
            Kita, ummat Nabi Muhammad S.A.W yang sentiasa banyak melakukan kesilapan samada disengajakan atau tidak sengaja. Amalan istighfar dianjurkan Allah dan Rasul-Nya saat berbuat maksiat. Tidak cukup istighfar, perlu disusuli dengan taubat nasuha dan akujanji tidak akan buat lagi. Sikap merendah diri kerana kita insan biasa berbanding generasi para sahabat ialah amalan terpuji. Itulah sikap rendah diri yang positif kerana golongan ini selalu berusaha menambah ilmu dan mengamalkan sunnah walaupun sekecil-kecil sunnah seperti menyikat rambut. Namun, jika ada yang terus-terusan berasa rendah diri yang negatif, mereka akan terus hidup dalam keadaan futur (lemah) dan tidak muntijah (produktif). ‘Baju’ rendah diri yang negatif inilah yang dipakaikan oleh syaitan kepada sesetengah orang yang terkeliru.
Dia Memang Insan Mulia!
Hikmah Baginda mentarbiah dengan lisan dan amal masyarakatnya, melahirkan generasi para sahabat yang hebat. Ini semua hasil penghayatan Islam secara syumul bukan sekadar cakap-cakap dan tulis-tulis seperti kita hari ini. Generasi mulia itu pernah muncul dengan izin Allah dan berkat kesabaran Baginda Rasul. Sekurang-kurangnya, kita insan biasa pada hari ini merasa madu Islam. Mulianya Baginda kerana akhlak. Kedatangannya menyempurnakan akhlak kaumnya yang sangat rosak hinggalah Islam yang dibawa oleh Baginda meresap kuat ke dalam jiwa dan pemikiran para sahabat r.a seperti air diserap span. Sehinggakan, Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah, ulama Syria mencatat di dalam bukunya, “Seandainya Rasulullah tidak mempunyai satu mukjizat kecuali para sahabat, maka sesungguhnya keperibadian para sahabat itu telah cukup mengukuhkan status kenabian.” Masyallah, dahsyat bukan?  

Jika benar cinta Nabi, buktikanlah…
Seringkali kita mendengar, cinta tidak perlukan syarat. Selalu juga kita baca, orang lelaki kalau cinta seseorang, 90% bukan pada kata-kata I love you, tetapi suka membuktika cinta dengan perbuatan. Manakala, orang perempuan yang dianugerahkan emosi lebih besar dari lelaki, 90% cintanya suka diluahkan dalam bentuk kata-kata. Tetapi, andai benar cinta kepada Nabi itu ada dalam hati kita, apa buktinya?
Bukti
Contoh Tindakan
Al-Hubb. Cinta dan kasih kepada Rasulullah






Ikut (ittiba’). Fattabiouni yuhbib kumullah.

·         Berselawat setiap hari, bukan sekadar pada hari maulidur rasul.
·         Belajar sirah nabi tanpa jemu
·         Mengkaji rentetan berserta dengan tarikh-tarikh peristiwa besar sepanjang dakwah Baginda.
·         Menulis dalam media sosial tentang kebaikan dan kemuliaan Rasulullah sebagai kudwah hasanah seperti di dalam facebook, blog dan sebagainya.
·         Mengamalkan sunnah Baginda dari sekecil-kecil perkara memasuki tandas dengan kaki kiri hingga sebesar-besar perkara seperti pemerintahan negara.
·         Meninggalkan larangan atau maksiat dan melakukan suruhan Allah dan Rasul-Nya.
3.      Berhati-hati menyandarkan sesuatu kepada Baginda.

·         Meneliti dan berhati-hati menggunakan hadis maudhuk (palsu) kepada Baginda.
·         Tidak memanjangkan hadis-hadis yang diragui.
·         Berusaha mempelajari ilmu perawi hadis bukan sahaja menghafaz matan hadis.
·         Berhati-hati bukan anti hadis.
4.      Cintailah sahabat Nabi, manusia yang akrab dengan Nabi.

·         Membela sahabat-sahabat Nabi. Dalam kes perselisihan antara para sahabat, maka kita diamkan sahaja, bukan mencemuh atau menjatuhkan mana-mana sahabat.
·         Tidak membenci dan mengkafirkan mana-mana sahabat sepertimana yang dilakukan oleh syiah.

Semoga jari-jemari yang menaip setiap patah kata dengan lontaran idea ini adalah orang yang pertama beramal dengan apa yang diperkatakan. Bukan cakap tidak serupa bikin kata orang. Dan, semoga kita semua diberi hidayah dan taufik untuk beramal dengannya.

Sebuah Renungan
Sebagai renungan bersama. Apabila seorang pencinta sedang kemaruk, pastilah yang keluar dari bibirnya hanyalah ‘apa yang dicintainya’. Seorang yang sedang bercinta dengan insan yang dicintai, pasti akan sentiasa menyebut-nyebut nama dan perbuatan kekasih hatinya ketika berbicara dengan orang lain hinggakan termimpi-mimpi! Persoalan yang sama, jika benar kita mencintai Rasulullah, sedalam manakah atau sebanyak manakah kita berdoa agar diperkenankan Allah untuk bermimpi berjumpa habibuna al-Mustofa (kekasih kita yang terpilih) Rasulullah S.A.W? Sejauh manakah kita sudah berusaha menjadikan Rasulullah sebagai suri teladan hidup kita? Menggantikan semua ikon atau figura selain Rasulullah? Apa signifikannya kita soalkan semua ini? Jawapannya, kerana dia insan mulia dan kerana hanya dia sahaja yang diizinkan Allah memberi syafaat kepada kita di atas siratal mustaqim nanti. Ya Allah, izinkanlah hati-hati kami yang bersalut noda dan kecintaan duniawi ini merasai madu merindui kekasih istimewa-Mu, Muhammad S.A.W. 

Zizi Azlinda bt Mohd Yusof.